Harimau di Kemensah Heights: Lelaki Bangladesh ditahan

Ampang: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menyebarkan maklumat mengenai penemuan harimau di Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Heights, Hulu Klang di sini, seperti tular semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan sepasukan polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan. Suspek dipercayai orang yang memberi maklumat mengenai terlihat harimau di kawasan itu. Namun perkembangan mengenai penemuan haiwan liar itu suspek masih dalam siasatan. Hasil semakan juga mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan ditahan untuk tindakan lanjut, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berkata, polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang mendakwa menerima mesej suara menerusi aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan melihat harimau di kawasan kejiranannya dan meminta penduduk berhati-hati.

Katanya, pengadu merasakan dakwaan itu tidak benar dan mendatangkan kegusaran serta kebimbangan kepada penduduk setempat memandangkan setakat ini tiada bukti jelas mengenai penemuan itu.

Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah, katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, polis meningkatkan rondaan sekitar Kemensah Heights, Hulu Klang susulan mesej yang tular mendakwa terdapat seekor harimau berlegar di kawasan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here