Peniaga kuih tak mengaku cabul wanita di bilik hotel

Melaka: Seorang peniaga kuih didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah hotel, dua tahun lalu. Tertuduh Muhammad Hafiez Z Rosli, 27, mengaku tidak bersalah sebaik mendengar pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari dalam prosiding didengar Majistret Nabihah Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 26 tahun dengan mencabul mangsa di bilik sebuah hotel di Taman Melaka Raya, Melaka Tengah, pada 19 Oktober 2020.

Muhammad Hafiez didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang berasal dari Kampung Sri Repah, Tampin, Negeri Sembilan merayu jumlah itu dikurangkan.Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan diarah tidak mendekati atau mengganggu mangsa.Kes disebut semula 25 Julai depan untuk lantikan peguam bela.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here