Pemandu lori sayur ditahan sebabkan kemalangan maut

Kuala Kangsar: Pemandu lori sayur ditahan selepas dipercayai cuai hingga menyebabkan kematian dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 247.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini, petang tadi.

Nahas kira-kira jam 3.40 petang itu menyebabkan Arnie Kartikah Abu Bakar, 46, berasal dari Tampin, Negeri Sembilan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, nahas membabitkan lori dipandu suspek berusia 48 tahun itu dengan dua lagi kenderaan iaitu sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Menurutnya, siasatan awal menemui ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan menghala keluar dengan keadaan aliran trafik di tempat kejadian ketika itu agak sesak.

Katanya, setibanya di lokasi nahas MPV jenis Proton Ertiga dinaiki mangsa yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun memperlahankan kelajuan namun dilanggar lori sayur mengikut arah belakang.

Pelanggaran itu menyebabkan MPV berkenaan terseret ke hadapan lalu ia melanggar kereta jenis Proton Wira dipandu wanita berusia 53 tahun yang berada di hadapannya.

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa (si mati) yang berada di tempat duduk penumpang belakang bahagian kanan mengalami kecederaan di situ sebelum disahkan meninggal dunia, katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa lain dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan. Omar Bakhtiar berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori terlibat dengan siasatan lanjut masih dijalankan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here