‘Saya tenang dapat bantu orang ramai di hospital’ – Yogeswary

Ipoh: Berpegang kuat kepada prinsip setiap agama menuntut berbuat baik sesama insan mendorong pengawal keselamatan wanita ini membantu setiap pesakit dan pelawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini sejak lebih empat tahun lalu.

R Yogeswary 44, yang kini bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi di hospital berkenaan mendapat perhatian warganet apabila kisahnya sering membantu orang awam, dimuat naik pelawat di Facebook (FB).

Hantaran tular itu menyifatkan Yogeswary adalah kakitangan yang istimewa dan menjalankan tugas dengan baik serta gembira selain dikenali kerana suka menolong orang ramai.

Wanita itu akan membantu membuka pintu kereta, mengangkat barang, menjaga lalu lintas di parkir, menenangkan pesakit yang cemas, serta mengucapkan tahniah kepada ibu yang baru melahirkan anak.

Kisahnya turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang turut memberi penghargaan kepada Yogeswary atas komitmen yang diberikan dalam satu hantaran di FB, semalam.

Yogeswary berkata, setiap hari tekadnya boleh membantu dan memudahkan urusan orang ramai di hospital kerana ia dapat membuatnya tenang. Setiap hari saya mahu tunjukkan wajah gembira biarpun ada masalah dan berusaha membantu tanpa mengira perbezaan kaum serta agama.

Saya sendiri faham setiap yang datang ke sini mempunyai urusan jadi tugas saya memudahkan kerja mereka, malah jika berkeperluan saya akan berusaha mencari parkir lebih dekat untuk mereka katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia gembira melaksanakan tugasnya sekali gus menyantuni dan membantu orang ramai,malah mengakui ia dilakukan dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan atau pujian ramai.

Saya anggap mereka yang berada di hospital ini seperti saudara sendiri dan percaya setiap agama mengajar kita berbuat baik kepada semua orang.

Saya bekerja dengan ikhlas, malah tempoh jam bekerja juga terasa cepat berlalu dan tidur malam juga rasa lebih tenang selepas dapat memudahkan urusan orang,” katanya bertugas di bahagian luar dan bekerja dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Berhubung kisahnya yang tular di FB, Yogeswary berkata, dia bersyukur bantuan kecilnya mendapat penghargaan hingga menarik perhatian Dr Zaliha. Saya baca semua komen di FB dan terharu kerana tak sangka juga bantuan kecil saya dihargai ramai.

Malah berasa sangat bertuah kerana walaupun hanya pengawal keselamatan yang menjaga parkir orang tetap menghargai saya katanya.-HM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here