India sedia pintas China negara paling ramai penduduk di dunia

NEW DELHI: India bersedia memintas China untuk menjadi negara paling ramai penduduk di dunia menjelang pertengahan tahun ini. Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penduduk India dijang­ka mencecah 1.4286 bili­on, 2.9 juta lebih daripada negara jirannya iaitu pada 1.4257 bilion.

Lapor BBC, negara-negara Asia pula menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada populasi global selama lebih 70 tahun. Kadar kelahiran China merosot baru-baru ini dengan populasinya menyusut tahun lalu buat kali pertama sejak 1961. Ramalan penduduk India itu yang disediakan dalam laporan State of World Population Fund (UNFPA) PBB adalah dalam bentuk anggaran kera­na tiada banci di negara itu sejak 2011.

Selepas 140 tahun bancian tanpa gangguan setiap 10 tahun, bancian 2021 dibatalkan kerana Covid dan ditangguhkan ke 2022. Kini ia ditolak semula ke 2024. Dalam temu bual dengan BBC, Ketua Anggaran dan Unjuran Penduduk PBB, Patrick Gerland berkata bahawa sebarang nombor tentang saiz populasi sebenar India adalah andaian naif dan berdasarkan maklumat serpihan.

“Kami tidak mempunyai data rasmi sebenar yang keluar dari India,” katanya. Selain itu, PBB berkata, anggaran mereka tidak termasuk penduduk di dua Wilayah Pentadbiran Khas China iaitu Hong Kong dan Macau yang bersama-sama mempunyai lebih daripada lapan juta orang atau Taiwan yang Beijing lihat sebagai wilayah yang memisahkan diri untuk disatukan dengan tanah besar suatu hari nanti.

Taiwan melihat dirinya berbeza daripada tanah besar China dengan perlembagaannya sendiri dan pemimpin yang dipilih secara demokrasi. Pada bulan November tahun lalu, populasi global melepasi lapan bilion. Tetapi pakar berkata, pertumbuhan tidak secepat dahulu dan kini berada pada kadar paling perlahan sejak 1950.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here