Fitnah Sultanah Terengganu Editor Sarawak Report Dipenjara

Kuala Lumpur, Feb 7.
Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Keputusan itu dibuat Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri selepas Rewcastle-Brown, 65, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Nik Mohd Tarmizie kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan.

Perbicaraan kes dijalankan secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran) mengikut Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.

Rewcastle-Brown berdepan tuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose. Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu.

Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here