Polis siasat serangan balai polis dikoordinasi

Putrajaya, May.
Polis sedang menyiasat sama ada serangan ke atas dua balai polis di Ulu Tiram dan Dato Keramat, termasuk cubaan dua lelaki menceroboh Istana Negara merupakan tindakan rambang atau wujud koordinasi.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis juga menyiasat sama ada ancaman bunuh ke atas Ahli Parlimen DAP Teresa Kok mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.

“Penting untuk tentukan sama ada serangan-serangan ini adalah tindakan rambang atau sebahagian serangan yang terkoordinasi dilakukan individu atau kumpulan.

“Berikan ruang dan kepercayaan kepada polis…itu kita pandang serius, kita segera siasat menjurus menentukan plot, motif, kumpulan, dan individu,” katanya pada sidang media.Jumaat lalu, dua anggota polis bertugas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, dibunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan lelaki berusia 21 tahun, yang ditembak mati.

Polis pada mulanya syak suspek merupakan anggota Jemaah Islamiyah, namun Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan, siasatan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan ekstremis tersebut.

Pada hari sama, polis menahan dua lelaki kerana cuba menceroboh Istana Negara, dengan parang ditemukan dalam kereta mereka.

Sehari selepas itu, Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh menerima surat ancaman bunuh bersama dua butir peluru diletakkan dalam peti surat kediamannya. Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui kaedah perhubungan sembunyi nama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here