Kuala Lumpur, Jun-
Suhakam perlu menyiasat insiden pelajar sekolah mengalami serangan haba selepas dipaksa berdiri dalam cuaca panas hampir tiga jam, kata bekas pesuruhjaya badan itu.
James Nayagam, yang juga aktivis kanak-kanak, berkata Suhakam tidak perlu menunggu pihak keluarga kemuka aduan untuk mula melakukan siasatan.“Suhakam diberi mandat bebas melakukan penyiasatan. Mereka tidak perlu menunggu aduan sampai.
Insiden seperti ini berkepentingan awam dan orang ramai ingin tahu bagaimana insiden seperti itu berlaku di Malaysia.
Nayagam juga menasihatkan ibu bapa mangsa membuat aduan rasmi kepada Suhakam demi memastikan pihak suruhanjaya itu melancarkan inkuiri. Katanya, siasatan Suhakam boleh berlangsung seiring penyiasatan polis.
Aktivis berkenaan yakin pihak suruhanjaya akan melakukan siasatan berimbang, sambil menyatakan mereka mempunyai pengalaman luas melaksanakan inkuiri sedemikian. Dapatan siasatan juga boleh digunakan di mahkamah, katanya.
FMT sedang mendapatkan ulasan Suhakam.
Menurut polis, pelajar lelaki diarah berdiri dalam cuaca panas di padang di sebuah sekolah di Ampang pada 30 April. Dia kemudian mengalami serangan haba dan memerlukan rawatan di Hospital Ampang.
Pihak keluarga berkata, penilaian hospital ke atas pelajar tahun lima mendapati dia kini dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU) dan tidak dapat kembali ke sekolah disebabkan ‘keadaan saraf’ akibat daripada serangan haba dialami.
Polis telah melakukan siasatan dengan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Pihak keluarga juga bercadang menyaman sekolah anak mereka.
Jurucakap keluarga, S. Dayalan berkata, setakat ini mereka belum merancang menghubungi Suhakam. Katanya, pada masa ini mereka menumpukan hasil siasatan polis terlebih dulu.
“Jika bagi saya, saya pasti akan menyiasat,” katanya kepada FMT.