Kuala Lumpur, Sep-
Mengembalikan semula peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 tidak akan menyelesaikan masalah membaca, menulis, dan mengira (3M), menurut pakar.
Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, Ainol Madziah Zubairi, berkata masalah 3M berpunca dari literasi peringkat awal, yang hanya boleh diselesaikan menerusi pentaksiran bilik darjah dan pengajaran yang tidak menjurus kepada peperiksaan. “Mari kembali kepada perkara asas iaitu kurikulum mesti dimantapkan dalam literasi 3M, jati diri, futuristik, adab dan rasa kepunyaan kepada negara serta budaya,”katanya kepada FMT.
“Membawa kembali peperiksaan tidak akan menyelesaikan masalah kita.”Kelmarin timbalan perdana menteri menggesa dasar berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dirombak, selepas difahamkan kebanyakan daripada lebih 10,000 yang tidak menduduki SPM tahun lalu tidak boleh membaca, menulis, atau mengira.
Zahid Hamidi berkata Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi menyedari punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu, dalam perbincangan dengannya sebelum ini.
Ainol bagaimanapun mengingatkan pelajar yang tidak menduduki SPM pasca pandemik Covid-19 merupakan ‘situasi unik’ kerana pembelajaran dan pengajaran yang tergendala dalam tempoh 3 tahun akibat wabak.