Kes 5 sekeluarga penyerang balai Ulu Tiram dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Johor Bahru. Sep-
Mahkamah Sesyen memindahkan kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu yang berdepan dengan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Rasidah Roslee memindahkan kes itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan.

Kelima-lima mereka terdiri daripada bapa penyerang berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah Radin Imran, 19.

Mahkamah memerintahkan Radin Imran dan Radin Romyullah ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, manakala Rosna dan Farhah Sobrina ditempatkan di Penjara Kajang yang masing-masing di Selangor.

Bagi Mariah pula, mahkamah memerintahkan remaja itu ditempatkan di Hospital Permai selama sebulan, bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Semua tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Pada 19 Jun, mereka didakwa di mahkamah sama atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Pada kejadian serangan di balai polis itu, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, masing-masing konstabel terkorban, selepas diserang seorang lelaki manakala Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Suspek turut ditembak mati dalam insiden serangan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here