Mulai Selasa depan tiada lagi beg plastik di 20 pasar raya, kedai serbaneka, rangkaian farmasi

Kuala Lumpur, Sep-
Sebanyak 20 pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, serta kedai rangkaian farmasi, kesihatan dan kecantikan akan menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya di 8,000 premis perniagaan mereka bermula Selasa depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata antara yang menyertai inisiatif itu ialah 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart dan Guardian.

“Ada yang sudah melaksanakan inisiatif ini, tetapi pada hari ini mereka menandatangani Akujanji untuk berikrar melaksanakannya secara besar-besaran mulai minggu depan. Sekiranya pelanggan tidak membawa beg sendiri, mereka boleh membeli beg kitar semula di kedai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen ‘Tiada Beg Plastik Sekali Guna’ di sini, semalam.

Nga berkata menerusi pelaksanaan inisatif itu, penggunaan 200 juta beg plastik setahun dijangka dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan serta membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.

Beliau berkata kerajaan terpaksa menanggung kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang tinggi iaitu sebanyak RM2 bilion setahun dan sedang berusaha mengurangkan pergantungan ke atas tapak pelupusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here