Kuala Lumpur,Nov-
Transformasi sistem pengangkutan awam di Lembah Klang sepanjang dua dekad lalu sememangnya luar biasa.
Sistem yang dahulunya terpisah, kini berkembang menjadi rangkaian luas dan bersepadu, dengan laluan bersilang membawa jutaan penumpang ke seluruh pelosok kawasan di Lembah Klang atau Greater Kuala Lumpur.
Ketika itu, terdapat dua stesen LRT berasingan di Masjid Jamek – satu bagi setiap laluan.
Antara langkah awal Rapid KL adalah mengintegrasikan stesen ini menjadi satu hab untuk meningkatkan kesalinghubungan di pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Sempena ulang tahun ke-20 Rapid KL, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, mengimbas kembali pencapaian syarikat sepanjang dua dekad lalu.
“Salah satu pencapaian utama ialah mengendalikan laluan Ampang dan Kelana Jaya serta melanjutkannya hingga ke Putra Heights. Pada 2016, Fasa 1 laluan Kajang dilancarkan, dan pada 2017 Fasa 2 dibuka.
“Tahun lalu kami melancarkan keseluruhan laluan Putrajaya. Dari perspektif rangkaian rel, ia telah berkembang dengan pesat,” katanya kepada FMT.
Azharuddin berkata, perkhidmatan bas Rapid KL kini merangkumi bas elektrik, yang digunakan di Laluan Bas Rapid Transit (BRT) Sunway, selaras dengan prinsip kelestarian dan komitmen untuk mengurangkan jejak karbon.
Pengendali pengangkutan awam itu juga sudah memperluaskan perkhidmatan basnya yang kini beroperasi di 323 laluan.
Perjalanan Rapid KL tidak terlepas daripada berdepan cabaran tersendiri. Pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 dan pelanggaran di Laluan Kelana Jaya tahun berikutnya memberi
kesan besar kepada syarikat tersebut.
“Selepas insiden pada Mei 2021, kerajaan melahirkan rasa kebimbangan dan kekecewaan. Tugas saya ketika mengambil alih jawatan ini, sejurus kemalangan terbabit adalah untuk memastikan situasi buruk seperti itu tidak berulang.
Walaupun berdepan kesukaran itu, Prasarana terus mengejar matlamat untuk menyumbang kepada visi menyeluruh kerajaan bagi mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan (modal share) pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030, serta memberi tumpuan kepada kebolehpercayaan dan penambahbaikan perkhidmatan.