Sepang, Dis-
Pesilat negara, V. Tharmaraj yang mencipta sejarah sebagai atlet berbangsa India pertama bergelar juara dunia dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 2 Jan ini.
Setiausaha Persatuan Silat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mej Noorsyahiddawati Abdullah Sani berkata ia sebagai penghargaan buat atlet berusia 28 tahun yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Sibu, Sarawak itu susulan kejayaannya meraih pingat emas kategori bebas putra di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahad lepas.
Beliau berkata turut diberikan kenaikan pangkat Sarjan seorang lagi pesilat yang meraih pingat emas acara silat kreatif tunggal putra Ahmad Fauzan Hadi.Dia (Thamaraj) akan dipakaikan pangkat Sarjan bersama Kpl Ahmad Fauzan Hadi. Kita akan meraikan mereka pada 26 Dis ini.
“Ia satu penghargaan besar buat mereka terutama sekali mereka adalah KPTD, jadi mereka layak untuk dipakaikan pangkat,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Menurut Noorsyahiddawati, beliau teruja melihat pencapaian Tharmaraj yang beralih daripada sukan taekwondo kepada seni silat hingga membuahkan hasil dengan bergelar juara dunia.
Beliau berkata atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu telah menunjukkan minatnya dalam sukan silat dan pihaknya telah melatih serta menghantar Thamaraj menyertai Kejuaraan Silat Kebangsaan pada 2022.
“Dari situ dia (Tharmaraj) ‘laku’ ke skuad negara selain pencapaiannya sepanjang tahun ini,” katanya.
Tharmaraj muncul antara pesilat senior yang menyumbang enam pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia, menyaksikan Malaysia turut membawa pulang sembilan perak dan empat gangsa.