Nilai, Jan-
Tidak ubah seperti filem kongsi gelap apabila sekumpulan lelaki bertopeng secara terbuka menyerang dan menetak empat lelaki menggunakan parang di sebuah restoran di sini, kira-kira jam 9.40 malam tadi.
Lima lelaki disyaki warga tempatan dirakam menaiki sebuah kenderaan sebelum berhenti dan meluru ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menikmati hidangan di restoran itu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata lima mangsa cedera akibat diserang dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima makluman daripada orang awam memaklumkan terdapat empat lelaki warga tempatan lingkungan umur 44 tahun hingga 59 tahun dikatakan diserang.
“Difahamkan ia dilakukan sekumpulan lelaki ketika mangsa berada dalam sebuah kedai makan dalam daerah pentadbiran IPD Nilai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa diserang sekumpulan suspek disyaki warga tempatan dianggarkan seramai lima individu bersenjatakan parang ketika sedang duduk minum di dalam kedai makan itu.
“Kesemua mangsa dirujuk ke HTJ untuk menerima rawatan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya.





















