Kuala Lumpur, Jan-
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.
Anwar berkata, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian.
“Ada kedai yang rosak, ada yang teruk (keadaannya). Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan lihat dan segerakan (baik pulih). Ini kawasan tumpuan ramai.
“Ini boleh dilakukan dan diselesaikan menggunakan kaedah ‘fast track’ bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan pada masa yang sama, membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka,” katanya selepas melakukan tinjauan di sekitar Jalan Masjid India, hari ini.