Kuala Lumpur, Jan-
Kebimbangan isu keselamatan di sekitar kawasan insiden lubang benam di Jalan Masjid India menjadi antara faktor kekurangan pengunjung ke lokasi itu walaupun kerja pemulihan siap dijalankan.
Pengunjung, Vinod Kumar, 33, mengakui beliau kini lebih berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut dan mengelak membawa keluarganya bersama.
“Kalau kita lihat kawasan pejalan kaki di sini tidak sekata, ada yang terangkat dan ada yang tenggelam. Kalau tanya saya, perlu diperiksa sekali lagi.
“Saya juga kasihan dengan peniaga di sini sebab orang sudah berkurangan tidak seperti dulu kerana ramai masih takut,” katanya ketika ditemui FMT. Bagi Nor Asmawati, 45, pengusaha kedai makan yang bertapak hampir 20 tahun di situ, kejadian lubang benam lalu memberi kesan hebat terhadap sumber pendapatannya.
“Setelah kejadian lubang benam itu, orang sudah tidak ramai dan sekarang pun biasa-biasa sahaja. Sewaktu penutupan jalan lepas, jualan sangat teruk dan saya hanya dapat meraih suku daripada pendapatan biasa,” katanya.
Dalam kejadian 23 Ogos tahun lalu, wanita warga India Vijaya Lakshmi, 48, yang berada di negara ini untuk melancong dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam itu dan gagal ditemui hingga hari ini.
Berikutan itu, kawasan dari pintu gerbang hingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100m tidak boleh dilalui pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.





















