Kangar, Jan-
Sebanyak 60 peratus wanita di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan ‘pap smear’ bagi saringan kanser serviks, berdasarkan data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata statistik itu mencerminkan tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan wanita mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit terbabit.
“Kanser serviks merupakan ancaman nyata kepada kesihatan wanita, malah ia adalah kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita pada peringkat global dan kanser keenam utama di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Perlis 2025, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad.




















