Suspek tembakan di pusat beli-belah Setia Alam ditembak mati

Kuala Lumpur, Feb-
Suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di Shah Alam, pada 8 Februari lalu, maut ditembak di Pulau Ketam, dekat Klang Selatan, awal pagi tadi.

Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi tadi.

Setakat ini tidak dapat disahkan sama ada keberadaan suspek di pulau berkenaan kerana bersembunyi selepas diburu polis sejak kejadian tembak pada 8 Februari itu atau untuk melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek yang juga seorang penjenayah dikehendaki maut dalam satu kejadian tembak-menembak bersama polis ketika serbuan di Pulau ketam itu.

“Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.

“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.

“Semakan mendapati saspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini,” katanya melalui kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here