Kuala Lumpur, Mac-
Semua badan penguat kuasa dan agensi keselamatan diarahkan mengambil tindakan cepat, berkesan serta tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pengambilan tindakan tegas itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, selain isu itu yang kini tular dalam media sosial, mesyuarat turut membincangkan dan meneliti pelbagai lagi isu semasa.
“Semua pihak diingatkan supaya memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain, serta sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.























