George Town, Mac-
Sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) dari 25 hingga 28 April, yang terbesar pada tahun ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata gangguan itu susulan pelaksanaan 23 projek pemasangan paip dan kerja penting lain oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta.
“Impak pelaksanaan 23 projek itu bakal dirasai 465,000 akaun pengguna air di negeri ini seperti lebih banyak bekalan air, tekanan lebih baik dan stabil setiap masa serta tempoh pemulihan lebih pantas sekiranya berlaku gangguan air,” katanya pada sidang media.
Chow berkata pelaksanaan kerja fizikal projek berkenaan oleh 800 petugas dijangka mengambil masa selama 18 jam.
Beliau berkata SWSI April 2025 itu melibatkan operasi henti tugas separa untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dengan tempoh maksimum gangguan bekalan air dijadualkan 60 jam.
Bagaimanapun, pengerusi PBAPP itu berkata mereka merancang untuk mencapai pemulihan bekalan air sebanyak 88% atau 300,185 daripada akaun pengguna terjejas dalam tempoh 48 jam.
“Menerusi pemberitahuan notis awal ini, diharapkan orang ramai dapat memberikan kerjasama penuh. Simpan air mencukupi untuk kegunaan 24, 48 atau 60 jam bergantung kepada lokasi kediaman masing-masing,” katanya.
CEO K. Pathmanathan pula berkata pemulihan bekalan air dilaksanakan secara berperingkat iaitu 40% atau 136,683 akaun pengguna di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Barat Daya dan Timur Laut dalam tempoh 24 jam.