Segamat, Mei-
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular membawa anjing peliharaannya ketika minum di sebuah restoran nasi kandar di Segamat baru di sini.
Menerusi video itu, lelaki dipercayai berusia 20-an itu dilihat meletak anjing peliharaannya di atas bangku sebelum pekerja premis terbabit tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata polis mengesan video itu semalam selepas tular di media sosial.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah restoran nasi kandar pada Ahad lalu.
Dalam video yang tular itu, seorang individu dilihat membawa seekor anjing peliharaan ketika minum.Susulan itu, pekerja premis terbabit tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi memberi keterangan.
“Pekerja berkenaan juga memaklumkan kerusi yang diduduki anjing sudah dibuang selepas perkara itu dimaklumkan kepada majikan,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Zamry berkata, usaha mengesan lelaki berkenaan sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut kes itu turut membabitkan Majlis Perbandaran Segamat mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1970.























