Hantaran FB galak racun anjing Kumpulan hak asasi haiwan lapor polis

Kuala Lumpur, Mei-
Beberapa kumpulan hak asasi haiwan membuat laporan polis berhubung satu hantaran Facebook yang didakwa menggalakkan perbuatan meracun dan membunuh anjing liar di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Laporan itu dibuat semalam di IPD Sentul oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, Furrykids Safehaven, Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia, Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, serta beberapa aktivis.

Mereka menggesa tindakan segera diambil terhadap hantaran yang dikongsi di halaman Facebook ‘Sendayan Macam-Macam Ada’, yang mempunyai lebih 114,000 pengikut.

Katanya, komen-komen yang ditinggalkan di hantaran itu menggalakkan perbuatan meracun dan membunuh anjing liar di kawasan tersebut.

Tangkapan layar menunjukkan pengguna Facebook berbincang tentang penggunaan racun rumpai Roundup yang dicampur dengan kulit ayam untuk meracun anjing.

Kumpulan hak haiwan itu berkata Seksyen 30 dan 31 Akta Kebajikan Haiwan 2015, melarang pembunuhan kejam terhadap haiwan serta pemberian racun kepada haiwan.

Katanya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga melarang penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian dengan niat untuk menyebabkan kegusaran, kecederaan, atau menghasut kebencian.

“Kami menggesa pihak berkuasa bertindak segera dan menyiasat kes ini serta memastikan mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan kejam ini didakwa mengikut undang-undang.

“Kebajikan dan perlindungan haiwan mesti dipandang serius, dan perlakuan tidak berperikemanusiaan sebegini tidak sepatutnya dibiarkan dalam masyarakat kita,” kata kumpulan itu.

Mereka turut menggesa syarikat media sosial supaya memperketat pemantauan terhadap kandungan berbahaya, sambil memberi amaran bahawa platform ini semakin kerap disalahgunakan untuk menghasut keganasan, bukan sahaja terhadap manusia tetapi juga haiwan.

“Komen-komen ini, termasuk pengakuan dan arahan terperinci tentang cara mencederakan haiwan, bukan sahaja menyedihkan malah jelas melanggar undang-undang kebajikan haiwan,” kata kumpulan itu dalam kenyataan bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here