Remaja 17 tahun didakwa bunuh ibu, abang

Kuala Lumpur, Jun-
Seorang remaja 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan membunuh ibu dan abangnya serta menyebabkan kecederaan parah terhadap adik kandung menggunakan pisau lipat, minggu lalu.

Dalam prosiding secara tertutup itu, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, lapor Berita Harian.

Mengikut tuduhan, remaja itu didakwa menyebabkan kematian ibunya yang berusia 51 tahun dan abangnya yang berusia 21 tahun di sebuah rumah di Bukit Rambai pada 12 Jun lalu, antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Dia juga didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap adik lelakinya berusia 13 tahun dengan menggunakan sebilah pisau lipat pada tarikh, masa dan di tempat sama.Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony, Francis Augustine Sosay, dan E Lee Thian.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan DNA dan bedah siasat mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja ditahan selepas disyaki membunuh ibu dan abangnya serta mencederakan adik bongsunya di kediaman mereka.

Ibu tunggal serta anak lelakinya itu ditemui dengan kesan tikaman di ruang tamu rumah manakala adik bongsu suspek berusia 13 tahun ditemui berlumuran darah di jalan hadapan rumah.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar dipetik sebagai berkata, wanita itu merupakan guru sekolah jenis kebangsaan Cina, manakala anak sulungnya pelajar kolej di Melaka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here