Kuantan, Sep-
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap budaya perkauman sempit yang kian menular kebelakangan ini.
Titah baginda, sikap sedemikian bukan sahaja memperdalam jurang prasangka, malah menumbuhkan bibit kebencian yang boleh merosakkan keamanan negara.
Baginda juga bertitah, terdapat segelintir pihak memanipulasi agama dan bangsa sebagai alat politik untuk meraih kuasa sama ada secara terang-terangan mahupun tersirat.
“Sikap melampau ini seolah menolak hak yang lain hingga menimbulkan rasa takut dan curiga dalam kalangan masyarakat majmuk,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2025 di sini pada Jumaat.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah juga memandang berat terhadap cabaran semasa yang menguji kerukunan negara.
Titah baginda, sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu-isu ummah dan perbalahan sosial yang awalnya tiada kaitan dengan agama atau bangsa terjerumus ke dalam kancah pertikaian agama dan kaum.
























