Jitra, Sep-
Seorang lelaki diselamatkan orang awam selepas Toyota Alphard dipandunya terbabas ke sungai di Jalan Kampung Tok Mengkula, dekat Sanglang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang apabila kenderaan dipandu mangsa bertembung sebuah Proton Saga yang memasuki laluan bertentangan ketika cuba mengelak biawak melintas.
“Perlanggaran itu menyebabkan Toyota Alphard dari Kuala Sanglang, Perlis itu terbabas dan terjunam ke sungai,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mohd Radzi berkata, mangsa diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan.
“Toyota Alphard berjaya dibawa naik dari sungai, manakala Proton Saga remuk di bahagian kanan hadapan,” katanya.




















