Home Bahasa Malaysia Kekalkan Semangat Hormat-menghormati – Gobind

Kekalkan Semangat Hormat-menghormati – Gobind

KUALA LUMPUR –

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyeru setiap rakyat mengekalkan semangat hormat-menghormati antara satu sama lain bagi memperkukuh perpaduan di negara ini.

Beliau berkata sikap seumpama itu akan membolehkan masyarakat menjalani kehidupan yang bahagia dan bertambah maju.

“Kita rakyat Malaysia terdiri daripada latar belakang, budaya dan agama berbeza, tetapi apa yang menjadikan kita masyarakat yang kuat dan rapat adalah kita hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Kita perlu mengambil langkah supaya kita boleh pastikan bahawa semua rakyat Malaysia boleh meraikan adat-adat mereka, budaya mereka, keagamaan mereka dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis perayaan Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman di sini, malam ini.

Turut hadir memeriahkan perayaan berkenaan ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam nada sama, Lim berkata semangat perpaduan dan toleransi yang ada dalam kalangan masyarakat selama ini perlu dikekalkan.

“Kita meraikan perayaan masing-masing bukan sahaja dengan hati terbuka, malah dengan rumah terbuka juga di mana kita makan bersama-sama. Itulah budaya Malaysia, kita raikan perayaan bersama-sama,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version