Home Bahasa Malaysia Polis lepaskan gas pemedih mata di luar Rumah Putih semasa bantahan kematian...

Polis lepaskan gas pemedih mata di luar Rumah Putih semasa bantahan kematian George Floyd

Polis melepaskan gas pemedih mata di luar Rumah Putih pada lewat petang apabila  bandar-bandar utama Amerika Syarikat dikenakan perintah berkurung untuk meleraikan rusuhan sedang para penunjuk perasaan kembali ke jalanan untuk menyuarakan kemarahan atas kekejaman polis.

Pentadbiran Encik Trump menyifatkan pihak yang menghasut rusuhan selama enam malam itu sebagai pengganas domestik. Lebih banyak pertembungan antara para penunjuk perasaan dengan polis berlaku, selain kejadian penjarahan.

Pertembungan ganas berulang kali tercetus di sebuah taman kecil bersebelahan Rumah Putih, dengan pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata, penyembur lada dan bom tangan untuk meleraikan orang ramai yang mencetuskan beberapa kebakaran besar dan merosakkan harta benda.

Pemimpin tempatan merayu para penduduk untuk meluahkan kemarahan mereka secara membina terhadap kematian seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata di Minneapolis, sementara perintah berkurung pada waktu malam dikenakan di bandar-bandar termasuk Washington, Los Angeles dan Houston.

“Kami mempunyai anak lelaki kulit hitam, saudara lelaki berkulit hitam, teman kulit hitam, kami tidak mahu mereka mati. Kami bosan dengan kejadian ini, generasi sekarang ini tidak akan menerimanya, kami cukup bosan dengan penindasan,” kata Muna Abdi, 31 tahun – seorang wanita kulit hitam yang menyertai bantahan itu.

“Saya mahu memastikan dia tetap hidup,” tambahnya merujuk kepada anaknya, berusia tiga tahun.

Ratusan anggota polis dan pasukan Pengawal Nasional dikerahkan menjelang bantahan itu.

Tunjuk perasaan besar-besaran juga diadakan di bandar-bandar lain seperti New York dan Miami.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version