Home Bahasa Malaysia Ibu tunggal anak empat terima Anugerah Hero Pekerja Pembersihan

Ibu tunggal anak empat terima Anugerah Hero Pekerja Pembersihan

Seorang ibu tunggal kepada empat orang anak dipilih sebagai penerima Anugerah Hero Pekerja Pembersihan mewakili negeri Melaka sempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 di sini semalam.

Rohani Yasin 53 tahun yang berasal dari Alor Gajah merupakan pekerja Rendah Am (PRA) Sapuan di SWM Environment Sdn Bhd sejak 11 tahun lalu pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang pada tahun 2018.

Rohani berkata, beliau tidak pernah berasa malu dengan pekerjaannya yang menjadi sumber rezeki utama bagi menanggung keluarga setelah kematian suaminya, Mohd Rashid Sampay yang juga merupakan pekerja SWM Environment akibat sakit tiga serangkai dua tahun lalu.

Menurutnya, beliau bersyukur dipilih untuk menerima anugerah itu bagi mewakili negeri Melaka sekali gus dan menjadi pemangkin semangatnya untuk terus bekerja bersungguh-sungguh.

“Dengan pekerjaan ini, saya mampu menyara anak-anak dan memastikan mereka berjaya dalam pelajaran serta mencapai impian dan cita-cita.

“Selagi mempunyai kudrat, saya akan terus bekerja bagi memastikan aspek kebersihan khususnya di Alor Gajah sentiasa terjaga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, pemilihan Rohani dibuat berdasarkan pencapaiannya yang cemerlang, komitmen tinggi terhadap kerja serta mempunyai hubungan baik dengan rakan sekerja.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada pekerja pembersihan sebagai hero yang bertungkus-lumus memastikan keselesaan masyarakat dengan menjaga kebersihan persekitaran.

“Saya harap anugerah ini dapat membuka mata orang ramai bahawa pekerja pembersihan juga mempunyai sumbangan penting terhadap negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyampaikan anugerah tersebut serta wang tunai RM1,500 dan sijil kepada setiap penerima dalam satu majlis di Ibu Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cyberjaya di sini semalam.

sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 dianjurkan julung kalinya oleh SWCorp bagi menghargai sumbangan pekerja pembersihan termasuk memilih Anugerah Hero Pekerja Pembersihan dari setiap negeri yang diwakili syarikat konsesi.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version