Home Bahasa Malaysia Mati Kerana TikTok

Mati Kerana TikTok

Bintang muda TikTok menjadi sasaran terbaharu pihak berkuasa Mesir yang menuduh golongan itu sebagai penyebar kemaksiatan dalam masyarakat.

 Sejak Presiden Abdel Fatah al-Sisi berkuasa pada 2014, ratusan wartawan, aktivis, peguam dan ahli intelektual sudah ditahan dan banyak laman web disekat atas alasan keselamatan negara.

The Guardian dipetik melaporkan beberapa bulan kebelakangan ini kumpulan wanita popular di media sosial juga membangkitkan kemarahan pemerintah dan ada yang sudah ditahan.

Penuntut universiti, Haneen Hossam dituduh mempromosikan pelacuran dan ditahan pada April selepas dia menyiarkan klip video memberitahu lebih 1.3 juta pengikutnya bahawa perempuan boleh menjana wang menerusi TikTok.

Mowada al-Adham yang dikenali dengan klip sindiran di TikTok dan Instagram pula ditahan pada Mei.

Pihak pendakwaan memaklumkan kedua-dua wanita itu didakwa atas tuduhan mengancam nilai kekeluargaan masyarakat Mesir, melalui hantaran mereka di media sosial.

Mahkamah memerintahkan Hossam dibebaskan dengan jaminan minggu lalu, namun pendakwa raya pada Khamis memberitahu dia ditahan semula selepas penemuan bukti terbaharu.

Lewat Mei berlaku kes yang lebih mengejutkan apabila remaja perempuan berusia 17 tahun dengan muka yang penuh lebam, memuat naik video di TikTok mendakwa dirogol sekumpulan lelaki.

Pihak berkuasa pula bertindak menahannya bersama enam lelaki yang didakwa menyerangnya dan semua mereka didakwa atas tuduhan mempromosikan pesta seks.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version