Home Bahasa Malaysia Status bandar raya Subang Jaya mulai 20 Oktober

Status bandar raya Subang Jaya mulai 20 Oktober

Status Subang Jaya daripada perbandaran kepada bandar raya berkuatkuasa mulai 20 Oktober depan apabila mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata Subang Jaya menduduki taraf perbandaran selama 22 tahun sejak 1997.

“Syukur MPSJ mendapat perkenan Sultan Selangor dan tarikh pengisytiharan serta penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah pada 20 Oktober 2020,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPSJ, semalam.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan MPSJ berjaya menukar status kepada MBSJ melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain MPSJ, Kuala Langat turut dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta tujuh majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Sepang dan Kuala Langat).

Majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version