Home Bahasa Malaysia Pelarian Rohingya terumbang-ambing di laut diselamatkan penduduk Indonesia

Pelarian Rohingya terumbang-ambing di laut diselamatkan penduduk Indonesia

Hampir 100 pelarian Rohingya yang terkandas di pinggir laut Indonesia ditarik ke pantai oleh penduduk tempatan pada Khamis (25 Jun) selepas pihak berkuasa enggan membantu memberikan mereka tempat berteduh berikutan bimbang akan jangkitan COVID-19.

Kira-kira 94 pelarian berkenaan termasuk 30 kanak-kanak yang berlayar menggunakan bot kayu ditemui rosak oleh nelayan pada minggu ini sebelum dipintas para pegawai maritim dari Pulau Sumatera yang menarik mereka ke pantai.

Namun, pihak berkuasa di bandar Lhokseumawe di pantai utara Sumatera itu enggan membenarkan kumpulan tersebut mendarat dengan alasan bimbang berlaku penularan COVID-19.

Justeru, penduduk tempatan yang marah mengambil inisiatif sendiri untuk melompat menaiki bot yang penuh sesak dengan pelarian Rohingya itu dan menarik mereka ke pantai.

Penduduk yang berkumpul di pantai tempatan bersorak berikutan tindakan itu, menurut wartawan AFP yang juga berada di tempat kejadian.

“Ia tindakan kemanusiaan yang sungguh murni,”kata seorang nelayan, Aples Kuari.

“Kami sedih melihat budak-budak dan wanita mengandung terkandas di lautan,” katanya.

Awal hari Khamis, Ketua polis tempatan, Eko Hartanto, berkata mereka mahu menghantar semula pelarian Rohingya yang diselamatkan nelayan tempatan itu kembali ke laut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bertukar pendirian selepas penduduk tempatan membantah dan kumpulan pelarian itu sekarang ditempatkan di rumah-rumah para penduduk.

Menurut agensi menyelamat Aceh, para pelarian Rohingya itu akan diperiksa oleh kakitangan perubatan bagi memastikan mereka bebas COVID-19.

Indonesia dan Malaysia antara destinasi digemari pelarian Rohingya beragama Islam yang melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar, dengan ribuan daripada mereka cuba menyelamatkan diri menyeludup masuk melalui laut pada setiap tahun.

Indonesia, selaku negara dengan paling ramai penduduk Islam di dunia, sebelum ini membenarkan pelarian Rohingya mendarat dan tinggal di republik itu.

Penderitaan pelarian Rohingya bertambah buruk beberapa bulan lalu kerana banyak negara menolak mereka berikutan bimbang menjadi pembawa wabak COVID-19. 

 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version