Home Bahasa Malaysia Bung Moktar ketuai jentera parti: Langkah ’bunuh diri’

Bung Moktar ketuai jentera parti: Langkah ’bunuh diri’

Keputusan meletakkan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, ialah langkah ‘bunuh diri’, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dalam satu sidang media tergempar malam tadi, beliau menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengkaji semula keputusan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah itu.

Dakwanya, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sedang dibelenggu dengan perbicaraan kes mahkamah, justeru akan menyebabkan UMNO Sabah pada kedudukan yang tidak stabil untuk memenangi hati rakyat.

“Kami berpandangan, seseorang yang menjadi ketua jentera pilihan raya mestilah bebas daripada persepsi negatif, yang boleh dimanipulasi pihak lawan, mempunyai kredibiliti tidak boleh dipersoalkan rakyat dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi, yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan-rakan.

“Kami yakin pendirian kami disokong ramai kepimpinan UMNO Sabah, serta rakyat Sabah sendiri,” dakwanya.

Dalam satu sidang media di Parlimen awal hari ini, Ahmad Zahid telah mengumumkan Bung Moktar akan mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), serta diberi kuasa penuh untuk menentukan agihan kerusi dan calon Ketua Menteri seterusnya.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan kuasa autonomi UMNO Sabah, yang diwartakan pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud secara tegas mendakwa, keputusan meletakkan Bung Moktar sebagai ketua, bukan sahaja satu penghinaan kepada UMNO Sabah, malah kepada rakyat Sabah secara amnya.

Ujarnya lagi, keputusan itu seolah-olah memalapkan peluang UMNO untuk kembali merebut pentadbiran negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version