Home Bahasa Malaysia Mukhriz Mahathir sahkan polis tahan anak, menantu, kerana langgar kawalan pergerakan

Mukhriz Mahathir sahkan polis tahan anak, menantu, kerana langgar kawalan pergerakan

Mantan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, pada Khamis (27 Ogos) mengesahkan anak perempuan serta menantunya merupakan antara 29 pengunjung sebuah pub dekat ibu negara, yang ditahan polis pagi Ahad lepas.

Encik Mukhriz berkata, anak perempuannya itu bersama suami ditahan, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sudah pun dikenakan denda RM1,000 (S$330) setiap seorang.

“Benar, anak dan menantu saya, dibawa ke balai pada awal pagi bersama 27 yang lain, atas kesalahan langgar arahan PKPP,” katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Bersama Dr Mahathir Mohamad, di Felda Besout 3 dekat sini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan kira-kira 1.20 pagi pada Ahad, pihaknya menahan 29 individu termasuk anak perempuan seorang VIP di sebuah pub, kerana berada di premis tersebut melebihi had masa dibenarkan di bawah PKPP.

Ahli Parlimen Jerlun itu memuji pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menguatkuasakan undang-undang secara adil serta saksama, berikutan tiada sebarang pengurangan denda ditawarkan kepada anak dan menantunya.

“Memang patut kena kompaun. Ikut undang-undang kena bayar tak bagi diskaun dan PDRM kuat kuasakan undang-undang tanpa pilih kasih, itu paling penting,” katanya sambil mengakui kecewa kerana sudah memberi nasihat kepada ahli keluarga agar mematuhi PKPP.

Ditanya jika kes tersebut memberi kesan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim, Encik Mukhriz yang juga antara pengasas Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata: “Tiada kesan, kerana kedua-dua perkara itu tiada kena mengena”.

Pilihan raya kecil Slim pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Encik Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu, bekas guru Encik S. Santhasekaran dan peguam Encik Amir Khusyairi Mohamad Tanusi. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version