Home Bahasa Malaysia Air laut pasang besar rekodkan paras tertinggi

Air laut pasang besar rekodkan paras tertinggi

Fenomena air laut pasang besar di Selangor setakat semalam direkodkan tertinggi sejak 20 tahun lepas, apabila mencatat bacaan ketinggian paras air laut 5.8 meter, pada jam 6.50 pagi semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata fenomena lazim berlaku setiap tahun melanda lima daerah di ne-geri itu bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 11 pagi semalam.

“Berlaku limpahan kecil air di kawasan penempatan berhampiran pantai di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang pagi semalam, namun kini ia sudah mulai surut.

“Di Kuala Selangor berlaku kejadian hakisan ban dan benteng di Kampung Sungai Janggut, Jeram dan beberapa rumah telah dimasuki air sehingga paras betis akibat limpahan air laut.

“Hanya sedikit limpahan kecil juga dikesan melepasi ban atau benteng di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jalan masuk Apartment Budiman, rekreasi pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam, Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhammad Izzat Haziq berkata terdapat runtuhan kecil di Ban Kampung Nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri akan melaksanakan pembaikan dalam kadar segera.

“Beberapa kawasan di dae-rah itu turut dikesan mengalami limpahan air iaitu antaranya kawasan Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Sementa, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong dan Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar,” katanya.

Muhammad Izzat Haziq berkata cuaca yang cerah dan ketiadaan hujan antara faktor yang menyebabkan fenomena air laut pasang di lima daerah tersebut dalam keadaan terkawal.

Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula kelmarin hingga hari ini, serta diramal berlaku pada 15 dan 16 November. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version