Home Bahasa Malaysia PKRC 2.0 MAEPS Cabaran Lebih Besar Kepada APM

PKRC 2.0 MAEPS Cabaran Lebih Besar Kepada APM

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRS 2.0), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) diaktifkan sejak 9 Disember lalu susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Lt. Kol (PA) Raja Muhammad Alhakim Raja Jaafar@Raja Yaakub, berkata skop operasi kali ini melibatkan pesakit COVID-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) bagi pesakit bukan warganegara sahaja.

“APM berperanan penting di dalam Jawatankuasa Perubatan dan Kesihatan, Tugas-tugas Khas, Pengangkutan, Kebajikan, Penginapan serta Sajian.

“Tidak seperti PKRC kali pertama pada April lalu yang diaktifkan dalam masa tiga bulan dengan kapasiti maksimum adalah 800 katil.

“PKRC 2.0 diaktifkan dalam masa empat hari sahaja di mana persiapan infrastruktur dan operasi bergerak seiring, lebih mencabar apabila kapasiti kali ini melonjak ke angka 10,000 katil,” katanya semasa ditemui di PKRC hari ini.
Menurut beliau, pengalaman ketika PKRC 1.0 sangat membantu dalam mengatur gerak anggota APM serta kerjasama dan koordinasi antara semua agensi terlibat.

“Cabaran lain yang dihadapi semasa musim monsun timur laut ketika ini adalah ancaman banjir serentak dengan operasi PKRC 2.0 dan operasi 11 stesen kuarantin di seluruh negeri Selangor.

“APM telah bersiap siaga dari segi aset, logistik dan pengezonan di seluruh daerah.

“PKRC 2.0 dijalankan secara berperingkat dan sekiranya mencapai paras maksimum, APM akan mendapatkan bantuan daripada negeri berhampiran,” katanya

Menurutnya, semua agensi berusaha mengekang wabak COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara, tindakan tapisan keselamatan pemeriksaan alatan yang mendatangkan bahaya, kategori etnik dan kategori pendatang asing perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Etnik yang berbagai-bagai kita perlu saring dan kategorikan dalam satu kawasan, malah perbezaan pendatang asing ini juga membawa bersama sikap yang agak mencabar untuk ditangani,” katanya.

 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version