Home Bahasa Malaysia Menteri Belgium ‘terdedah’ harga vaksin Covid-19

Menteri Belgium ‘terdedah’ harga vaksin Covid-19

Harga ubat dan vaksin Covid-19 sebelum ini sentiasa menjadi rahsia komersial sensitif yang dikawal rapi.

Namun, maklumat rahsia itu pecah apabila seorang menteri Belgium dikatakan secara tidak sengaja mendedahkan harga yang dipersetujui Kesatuan Eropah (EU) untuk vaksin Covid-19.

Setiausaha Belanjawan Belgium, Eva De Bleeker, memuat naik senarai harga itu dalam ciapan Twitter rasminya, berserta harga bagi setiap vaksin yang mahu dibeli negaranya daripada EU.

 Ciapan Twitter itu kemudian dipadamkan tetapi telah sempat ditangkap layar pihak lain dan kini menjadi pengetahuan umum di alam maya sekali gus menggembirakan pendukung akses kepada perubatan.

Walau bagaimanapun, pihak syarikat farmaseutikal seperti Pfizer, merungut mengenai pelanggaran kerahsiaan maklumat.

Senarai harga itu mendedahkan harga vaksin Oxford/AstraZeneca sebagai paling murah dan vaksin keluaran Moderna adalah yang paling mahal, namun ia memang sudah diketahui.

Ekoran pendedahan maklumat itu, negara lain yang mungkin masih dalam proses berunding untuk mendapatkan vaksin itu mendapat kelebihan.

Berdasarkan maklumat itu, EU membeli setiap dos vaksin Oxford/AstraZeneca pada harga €1.78 (RM8.81); Johnson & Johnson (AS$8.50 atau RM34.35) dan Sanofi/GSK (€7.56 atau RM37.45)

Vaksin keluaran Pfizer/BioNTech dijual pada harga €12 (RM59.43); CureVac (€10 atau RM49.52) dan Moderna (AS$18 atau RM72.73), menurut Agensi.

Setiap negara di dunia mahu melaksanakan program inokulasi besar-besaran mencegah Covid-19.

Pada masa sama, terdapat usaha mewujudkan program bagi memastikan setiap negara mendapat akses mencukupi untuk memberi vaksin kepada golongan berisiko.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Eropah berkata pihaknya tidak boleh mengulas mengenainya kerana segala berkaitan vaksin dan harganya dilindungi klausa kerahsiaan.

“Ini bagi kepentingan masyarakat dan proses rundingan yang sedang berjalan,” katanya pada satu sidang media.

Belgium membeli lebih 33 juta dos vaksin Covid-19 dengan harga keseluruhan €279 juta (RM1.38 bilion).

Sementara itu, United Kingdom (UK) , yang tidak menyertai skim pembelian vaksin EU, membeli 357 juta dos vaksin Covid-19 pelbagai syarikat.

Ini termasuk 40 juta dos vaksin Pfizer/BioNTech, yang diluluskan penggunaannya di UK sebelum negara lain dan 100 juta dos vaksin AstraZeneca.

Di Malaysia, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu bagi mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 12.8 juta dos iaitu 20 peratus daripada populasi negara.

Selain itu, Malaysia juga menandatangani perjanjian dengan COVAX Facility melalui Optional Purchase Arrangement pada 23 November yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version