Home Bahasa Malaysia Sambut tahun baru, tukar Menteri Kesihatan untuk lawan Covid-19

Sambut tahun baru, tukar Menteri Kesihatan untuk lawan Covid-19

Perdana Menteri dicadangkan supaya membuat rombakan Kabinet di tahun baharu ini dengan menukar Menteri Kesihatan yang ada bagi membolehkan usaha untuk melawan Covid-19 menjadi lebih baik.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ujian yang penting kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sama ada beliau mampu melantik seorang Menteri Kesihatan yang berkebolehan untuk memimpin usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19.

“Sekiranya kerana kerapuhan kerajaan Perikatan Nasional yang bersifat “pintu belakang” ini menghalang beliau daripada memecat Dr. Adham Baba daripada Kabinet, adakah Perdana Menteri mampu untuk merombak Kabinet, untuk melantik seorang yang lebih berkepimpinan dalam untuk memimpin negara kita dalam usaha melawan wabak Covid-19 dan memindahkan Dr Adham Baba ke kementerian yang lain?” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataannya.

Sejak dari awal perlantikannya, Dr Adham sentiasa menghadapi masalah dalam menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Kesihatan bermula dengan cadangan beliau agar rakyat negara ini meminum air suam untuk melawan Covid-19.

Ia telah menjadi cemuhan orang ramai sehingga beliau digelar ‘Menteri Air Suam’.

Tidak sebagaimana sebelum ini, selaku Menteri Kesihatan, beliau tidak akan memberikan sebarang sidang media bagi menjelaskan situasi kesihatan rakyat negara ini terutama dalam melawan Covid-19.

Sidang media harian dari Kementerian Kesihatan dilakukan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Norhisham Abdullah berbanding sebelum ini ia dilakukan bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Terdapat desas desus kononnya Dr Adham memohon untuk meletakkan jawatan tetapi ditolak oleh Muhyiddin kerana bilangan penyokong kerajaan dalam Parlimen sangat kritikal.

Menurut Lim Kit Siang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020, Malaysia mencatatkan hanya 790 kes Covid-19 dan dua kematian.

Pada awal pagi semalam, ketika kerajaan melanjutkan peraturan yang menjadi asas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ini sehingga 31 Mac 2021, jumlah kes terkumpul di Malaysia telah melonjak 143 kali ganda kepada 113,010 kes.

Kadar kenaikan hariannya adalah sebanyak 2,525 kes (lebih daripada tiga kali ganda jumlah kes terkumpul semasa PKP mula dilaksanakan) dan 471 kematian akibat Covid-19.

Bagi beliau, masalah terbesar dalam usaha melawan Covid-19 di Malaysia adalah defisit kepercayaan terhadap kerajaan Muhyiddin yang mula timbul selepas permulaan yang baik pada tempoh awal penularan wabak ini.

Ia disebabkan oleh layanan berbeza yang diterima oleh Menteri dan golongan VIP yang melanggar Prosedur Operasi Standard Covid-19 ( SOP) mengakibatkan gelombang ketiga wabak Covid-19 setelah pilihan raya umum negeri Sabah, yang masih belum dapat dikawal.

Namun begitu, katanya, salah satu lagi masalah terbesar di Malaysia adalah kurangnya kepimpinan dan disiplin dalam kalangan hierarki tertinggi Kabinet Muhyiddin.

“Malah, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang efektik dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 ini.

“Sebaliknya, kita mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang telah menghancurkan kredibilitinya sendiri dengan berbagai kesilapan seperti kenyataan “air suam untuk merawat Covid-19”, “500 negara” di seluruh dunia dan “15 negeri di Malaysia”.

“Akibatnya, beliau adalah orang yang terakhir yang mampu menjelaskan mengapa kita gagal melaksanakan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 ini,” kata beliau.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version