Home Bahasa Malaysia Penduduk tebing Sungai Kelantan ketakutan, rumah runtuh akibat hakisan

Penduduk tebing Sungai Kelantan ketakutan, rumah runtuh akibat hakisan

Kejadian tebing runtuh di Kampung Pohon Celagi di sini semalam membimbangkan kira-kira 100 keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Kelantan apabila sebuah dari kediaman mereka musnah hari ini.

Tanda-tanda hakisan dikesan sebulan lalu iaitu selepas berakhir musim tengkujuh menyaksikan wujud beberapa rekahan besar pada tebing dan jalan tar yang menjadi laluan utama ke kampung itu.

Bagaimanapun, seminggu selepas itu keseluruhan jalan berkenaan rekah sepenuhnya dan runtuh dihanyutkan arus sungai menyebabkan hakisan itu semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.

Malangnya, awal pagi semalam, penduduk digemparkan dengan satu runtuhan besar tanah sebelum pagi ini sebuah dari rumah mereka musnah dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penduduk sudah mengambil langkah berjaga-jaga sebaik menyedari ada kesan runtuhan dan rekahan selepas musim tengkujuh baru-baru ini.

Cuma mereka tidak menyangka hakisan itu semakin serius sehingga meruntuhkan rumah penduduk hari ini.

Dimaklumkan, kebanyakan rumah di situ diperbuat dari kayu dan berusia lebih 70 tahun.

Lokasi kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari pusat bandar Pasir Mas dan merupakan laluan alternatif penduduk untuk ke jajahan Kota Bharu, Rantau Panjang dan Tanah Merah selain menempatkan Balai Bomba dan Penyelamat.

Sekitar tahun 1980-an, kerajaan negeri yang ketika itu diperintah oleh Barisan Nasional (BN) telah membina benteng sepanjang kira-kira dua kilometer di tebing sungai itu bagi mengelak banjir.

Bagaimanapun, selepas 40 tahun berlalu, benteng tu dikatakan tidak lagi dapat menahan hakisan malah sebahagian daripadanya telah dihanyutkan arus sungai setiap kali musim tengkujuh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang ketika kejadian berada di Kuala Lumpur telah mengarahkan Ketua Jajahan, Datuk Norazman Abd. Ghani untuk memantau keadaan.

Ahmad Fadhli mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh penghulu kampung itu mengenai tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi pagi ini.

“Saya berada di Kuala Lumpur pada masa sekarang, bagaimanapun saya telah meminta pihak berwajib untuk mengambil langkah keselamatan yang perlu.

“Malam semalam, ketika rekahan sedang berlaku, saya maklumkan kepada tuan Ketua Jajahan dan beliau bergegas ke lokasi kejadian jam 12.15 pagi.

“Saya juga telah menghantar aduan segera kepada pihak Menteri Alam Sekitar dan pihak ADUN Pengkalan Pasir juga sedang mengambil tindakan segera untuk mengawal keadaan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, beliau meminta penduduk berdekatan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan kejadian itu.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version