Home Bahasa Malaysia Pelajar lepasan SPM mati lemas

Pelajar lepasan SPM mati lemas

Seorang remaja lelaki mati lemas ketika mandi bersama guru dan dua rakannya di kawasan air terjun Batu Berangkai di sini hari ini.

Mayat Mohamad Faiezal Naim Abu Bakar, 18, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di bahagian dasar air terjun pada kedalaman 2.4 meter, pada pukul 4.38 petang.

Lepasan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah, Chederong Balai itu datang ke kawasan rekreasi berkenaan untuk aktiviti riadah bersama bekas guru dan dua rakannya.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika mangsa bersama guru dan dua rakannya sedang berenang di air terjun tersebut.

Katanya, mangsa secara tiba-tiba ditarik arus sebelum hilang dari pandangan tanpa sempat dibantu guru berusia 27 tahun.

“Pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada polis dan bomba telah menjalankan pencarian di kawasan mangsa dipercayai lemas.

“Mangsa berjaya ditemukan pada kedalaman 2.4 meter di dasar sungai dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan punca kematian akibat lemas.

Katanya, mangsa adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dan datang ke air terjun berkenaan luar aktiviti sekolah.

 “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version