Home Bahasa Malaysia Polis tembak mati pemuda kulit hitam di Minneapolis

Polis tembak mati pemuda kulit hitam di Minneapolis

Protes meletus di Amerika Syarikat (AS) pada malam kelmarin selepas anggota polis menembak mati seorang pemuda kulit hitam di pinggir bandar Minneapolis di mana seorang bekas anggota polis sedang dalam perbicaraan bagi pembunuhan lelaki kulit hitam George Floyd.

Beratus-ratus orang berkumpul di luar balai polis di Brooklyn Center, barat laut Minneapolis.

Pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancaran cahaya ke arah penunjuk perasaan, menurut wartawan video AFP di tempat kejadian.

Ibu kepada Daunte Wright, seorang pemuda kulit hitam berusia 20 tahun, memberitahu orang ramai awal petang kelmarin bahawa anaknya telah menghubunginya untuk memberitahu dia telah ditahan polis, lapor media tempatan.

Katie Wright menyatakan beliau mendengar anggota polis menyuruh anaknya meletak telefon ke bawah sebelum salah seorang anggota polis tersebut menamatkan panggilan.

Tidak lama kemudian, teman wanita anaknya memberitahu Daunte telah ditembak.

Biro Penahanan Jenayah Minnesota mengesahkan kepada AFP ia sedang menyiasat seorang anggota polis yang terlibat dalam insiden tembakan di Brooklyn Center, namun menolak untuk mengenal pasti mangsa.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Polis Brooklyn Center, anggota polis telah menahan seorang pemandu atas kesalahan trafik dan apabila mendapati dia mempunyai satu waran tertunggak, mereka cuba untuk menahannya.

Dia masuk semula ke dalam kereta, dan salah seorang anggota polis terbabit melepaskan tembakan yang mengenai pemandu tersebut, menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian.

Seorang penumpang wanita di dalam kereta mengalami kecederaan yang tidak membahayakan nyawa dan telah dibawa ke hospital tempatan, menurut kenyataan yang tidak mengenal pasti identiti wanita tersebut.

Beberapa ratus orang berkumpul di Brooklyn Center petang kelmarin di mana mereka berdepan dengan anggota polis yang memakai pakaian seragam pencegah rusuhan.

Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan beberapa lelaki memijak cermin kenderaan polis.

Pihak polis melepaskan tembakan peluru tidak berbahaya dalam cubaan mele-raikan penunjuk perasaan, menurut Star Tribune.

Selepas kira-kira sejam, kehadiran pihak polis berkurangan dan orang ramai menyalakan lilin dan menulis mesej seperti ‘Keadilan untuk Daunte Wright’ dengan kapur tulis di atas jalan.

Datuk bandar Brooklyn City Mike Elliott menya-takan kejadian tembakan itu sebagai tragik.

“Kami meminta kepada penunjuk perasaan agar terus berada dalam keadaan aman dan penunjuk perasaan secara aman tidak akan berdepan dengan kekerasan,” tulis beliau dalam Twitter.

Kejadian berlaku ketika perbicaraan sedang dijalankan bagi bekas anggota polis Derek Chauvin, yang berdepan dakwaan pembunuhan tanpa niat dan pembunuhan melibatkan kematian Floyd di Minneapolis pada Mei tahun lepas.

Pembunuhan Floyd mencetuskan bantahan selama beberapa bulan di AS terhadap rasisme dan kekejaman polis serta menarik kemarahan antarabangsa. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version