Home Bahasa Malaysia Kesemua Pelakon video promosi judi online iklan raya dicekup polis

Kesemua Pelakon video promosi judi online iklan raya dicekup polis

Kesemua pelakon dalam iklan raya yang mempromosikan judi online sehingga mencetuskan kemarahan ramai sudah ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah  mengesahkan kesemua pelakon dalam video itu ditahan di sekitar ibu negara hari ini.

Tanpa mendedahkan secara terperinci waktu penahanan mereka, katanya, semua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

“Semua pelakon dalam video promosi judi online itu sudah ditangkap polis.

“Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi sudah tangkap pelakon-pelakon ini (video judi online)

 “Esok kita akan reman mereka,” katanya.

Mohamad Zainal menambah, mereka kini ditahan di lokap Dang Wangi.

Katanya, esok Majistret Kuala Lumpur  akan datang ke IPD untuk meluluskan reman ke atas mereka bagi membolehkan polis meneruskan siasatan ke atas mereka.

Petang tadi, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, satu laporan polis berkaitan video tular itu dibuat selepas dikesan dalam media sosial semalam.

“Polis telah memulakan siasatan terhadap video berdurasi 2 minit satu saat itu.

“Isi kandungan video ini mendapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Penerbit dan pelakon akan dikesan dan dipanggil untuk dirakam keterangan untuk disiasat lanjut,” tegasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version