Home Bahasa Malaysia Kapal terbelah tiga

Kapal terbelah tiga

Ketua Angkatan Tentera Laut Nasional Indonesia, Yudo Margono pada semalam telah mengesahkan kesemua 53 kru kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 meninggal dunia.

Kapal tersebut sebelum ini dilaporkan hilang dan tenggelam di perairan Bali pada Rabu lalu.

Kompas TV melaporkan pengesahan itu dibuat selepas beberapa bahagian kapal selam itu ditemui hasil penelitian dasar laut menggunakan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) yang dibekalkan Singapura.

 “Terdapat beberapa bahagian KRI Nanggala 402. Ia terbelah kepada tiga bahagian,” kata Yudo.

Antara yang ditemui, kemudi kipas belakang kapal selam, sauh, bahagian luar badan, kemudi selam timbul, termasuk pakaian keselamatan yang dipakai kru.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan mereka menerima isyarat dari lokasi sedalam lebih 800 meter (m) pada awal pagi Ahad dipercayai kedudukan KRI Nanggala 402 tenggelam.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera Nasioanl Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto turut mengesahkan kematian tragis kru KRI Nanggala 402.

“Berdasarkan bukti-bukti kukuh (penemuan barangan dari KRI Nanggala 402) tersebut, dapat dinyatakan bahawa KRI Nanggala-402 telah tenggelam dan seluruh anak kapalnya telah gugur,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version