Home Bahasa Malaysia Rekod 40 gol Mueller diakhiri Robert Lewandowski

Rekod 40 gol Mueller diakhiri Robert Lewandowski

Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, berkata bahawa ia seperti berada dalam satu ‘filem sains fiksyen’ selepas menjaringkan gol ke-41 beliau dalam Bundesliga Jerman musim ini pada Sabtu, sekali gus memecah rekod selama 49 tahun dimiliki Gerd Mueller, rekod jaringan gol liga dalam satu musim.

Lewandowski menjaringkan gol pada minit ke-90 ketika Bayern menewaskan Augsburg  5-2, selepas menyamai rekod 40 gol, yang dicipta pada musim 1971/1972, pada minggu lepas.

Lewandowski memecah rekod Mueller dengan penyudah klasik, mengelecek penjaga gol Augsburg sebelum merembat ke pintu gol selepas bola muntah dari rembatan Leroy Sane tidak lama sebelum tamat permainan.

“Anda harus menunggu selama 90 minit dan kemudian ia berlaku pada saat akhir,” kata Lewandowski selepas perlawanan terakhir musim ini.

“Ia seperti berada dalam filem sains fiksyen. Saya sudah hilang suara saya. Saya melihat Leroy merembat ke pintu gol, saya harus terus percaya dan tuah memihak kepada saya apabila bola ditepis penjaga gol melantun ke arah saya.”

Lewandowski mencipta rekod baharu selepas enam cubaannya sebelum ini dinafikan penjaga gol Augsburg ketika Bayern akhirnya menjulang trofi Bundesliga Jerman selepas tamat permainan untuk kali kesembilan berturut-turut.

Mereka menamatkan musim 13 mata di hadapan pencabar terdekat.                                      

“Saya agak kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol lebih awal tetapi  kadang-kadang rekod seperti ini perlu diusahakan lebih gigih lagi,” tambah Lewandowski.

“Saya bersabar dan terus percaya sehingga ke akhir permainan. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang berkongsi rekod ini dengan saya.

“Ini adalah sesuatu yang sangat istimewa, saat bersejarah dalam kerjaya saya.”

Ia adalah perlawanan terakhir untuk jurulatih Bayern, Hansi Flick, yang akan diganti oleh jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann pada musim hadapan selepas  memenangi tujuh kejuaraan dalam tempoh 18 bulan terakhir.

“Saya akan merindui pasukan ini,” kata Flick, yang dibayangkan akan menggantikan Joachim Loew sebagai jurulatih kebangsaan Jerman selepas Euro 2020.

Jerome Boateng dan Javi Martinez, kedua-dua berusia 32 tahun dan juga David Alaba, yang dilaporkan menyertai Real Madrid musim hadapan, beraksi untuk perlawanan terakhir bersama Bayern dengan kontrak mereka berakhir musim ini.

Alaba dan rakan penyerang, Thomas Mueller, berkongsi rekod memenangi 10 kejuaraan Bundesliga Jerman.

Jurulatih sementara Borussia Dortmund, Edin Terzic, menamatkan tugas dengan bergaya apabila pasukannya memenangi perlawanan ketujuh berturut-turut ketika Erling Braut Haaland menjaringkan dua gol untuk menewaskan Bayer Leverkusen 3-1.

Terzic, 38, dijangka akan menjadi penolong jurulatih Marco Rose, yang akan mengambil alih tugas di Dortmund musim hadapan.

Pada perlawanan lain, Union Berlin layak ke perlawanan playoff untuk Liga Conference Europa selepas menamatkan musim di tangga ketujuh dengan mengejutkan naib juara liga, Leipzig 2-1.

Di tangga tercorot, Werder Bremen tersingkir dari Bundesliga Jerman selepas 40 tahun.

Kemenangan 1-0 Cologne ke atas Schalke bermakna Bremen, yang tewas 2-4 kepada Moenchengladbach, tersingkir dari liga. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version