Home Bahasa Malaysia Kontrak nasihat doktor Cuepacs hartal dihentikan

Kontrak nasihat doktor Cuepacs hartal dihentikan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan agar seruan Hartal Doktor Kontrak yang dikatakan bagi memperjuangkan isu pegawai perubatan kontrak, tidak diteruskan kerana dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang berada dalam situasi genting ketika ini.

Presidennya Adnan Mat berkata Cuepacs bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah dihadapi oleh pegawai perubatan muda berkenaan isu penyerapan dalam perkhidmatan dan sememangnya berpendirian bahawa lantikan kontrak tidak sepatutnya diamalkan untuk penjawat awam terutama bagi perkhidmatan penting seperti sektor kesihatan.

“Dengan ketiadaan jaminan dalam pekerjaan dan pembangunan kerjaya, pegawai perubatan muda sukar membuat perancangan masa depan kerana sentiasa menunggu penyambungan kontrak setiap masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak trending di Twitter sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak di seluruh Malaysia berikutan dakwaan pegawai perubatan kontrak tidak diserap ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.

Cuepacs juga berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera selain mempertimbangkan pemberian lantikan tetap kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang telah terbukti kompetensinya dalam perkhidmatan, semasa negara sedang mengalami darurat kesihatan.

Beliau menjelaskan pertambahan penduduk Malaysia setiap tahun sekitar 900,000 hingga sejuta orang setiap tahun memerlukan pertambahan doktor bagi merawat dan mengendalikan fasiliti kesihatan negara.-Bernama

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version