Home Bahasa Malaysia Tarikh akhir 30 September untuk cukai jalan terlalu awal, kata Anggota Parlimen...

Tarikh akhir 30 September untuk cukai jalan terlalu awal, kata Anggota Parlimen Sabah

KOTA KINABALU: Seorang Ahli Parlimen Sabah meminta kerajaan melanjutkan tarikh akhir untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan selepas 30 Sept. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini mengumumkan tiada lagi lanjutan selepas 30 Sept dan rakyat boleh memperbaharui lesen atau cukai jalan melalui MySikap atau MyEG, atau malah menjadualkan janji temu dalam talian untuk membuat bayaran di pejabat pos atau JPJ.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, kerajaan gagal menyedari ramai pengguna jalan raya, khasnya golongan tua dan penduduk di kawasan pedalaman, tidak mahir dalam langkah yang diperlukan untuk membuat dan mengesahkan tempahan dalam talian sedemikian. Beliau berkata, sesetengah langkah itu memerlukan pengguna membuat akaun baharu dengan pengesahan e-mel dan rakyat yang tiada e-mel kecewa dan marah kerana mereka tidak dapat membayar walaupun mempunyai wang.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lupa hakikat Sabah mempunyai kadar pendaftaran MySejahtera terendah kerana tidak celik teknologi maklumat (IT),” katanya dalam kenyataan hari ini. Sebelum ini, mereka yang tamat cukai jalan antara 1 Jun dan 31 Julai lalu diberikan tempoh tangguh, dan dibenarkan memperbaharui dokumen mereka dari 1 Ogos hingga 30 Sept. Ia turut mengumumkan sekatan jalan akan dibuat polis dan JPJ untuk memastikan pematuhan kepada penguatkuasaan bermula 1 Okt ini. Chan mendakwa terdapat juga laporan kekurangan bekalan kertas yang digunakan untuk mencetak cukai jalan dan ramai ditolak di cawangan JPJ serta pejabat pos.

Ini hanya menyebabkan banyak perjalanan dan menggagalkan matlamat cuba mengurangkan jejak manusia ketika pandemik Covid-19 ini. Kebanyakan pengguna jalan raya adalah warganegara mematuhi undang-undang yang mahu membayar tunggakan kepada kerajaan dan tiada niat menangguhkan bayaran cukai jalan.

Chan berkata, kerajaan juga patut mempertimbangkan untuk memberi insentif kepada mereka yang membuat bayaran dalam talian, dengan memberikan diskaun menarik bagi cukai jalan. Bayaran penghantaran cukai jalan (sehingga RM10 dikenakan) juga perlu diserap kerajaan, katanya kerana ini antara cara untuk menggalakkan transaksi dalam talian.

Jika kerajaan berhasrat meneruskan penguatkuasaan mulai 1 Okt, maka mereka terlebih dahulu perlu memastikan orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan mereka dan membuat pembayaran dengan mudah. JPJ patut membuka janji temu ‘walk-in’ di semua cawangan JPJ untuk pembaharuan cukai jalan dengan pematuhan ketat SOP. Jika ini tidak dapat dilakukan, kerajaan perlu melanjutkan tarikh akhir selepas 30 Sept.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version