PUTRAJAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di sini. Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.
Berdasarkan mesej yang tular, satu perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam PN bersama Muhyiddin dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5 petang ini. Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.
Usaha pihak media yang menanti untuk mendapatkan ulasan berhubung pertemuan tersebut tidak berhasil. Walaupun tiada butiran agenda mengenai pertemuan tersebut, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan situasi politik semasa negara.