Home Bahasa Malaysia Peniaga warga Bangladesh ditahan guna PLKS palsu ‘ID Hack’

Peniaga warga Bangladesh ditahan guna PLKS palsu ‘ID Hack’

Seorang pemilik kedai komputer warga Bangladesh berusia 30 tahun ditahan kerana menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang diperoleh melalui sindiket “ID Hack”. Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek ditahan melalui operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pihak Imigresen menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di kondominium tersebut, selain turut menahan isteri suspek, seorang warga Indonesia berusia 44 tahun. Suspek adalah pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur, kata Khairul Dzaimee dalam kenyataan.

Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, suspek mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan tersebut. Suspek juga turut menyewa sebuah kondominium mewah sebagai kediaman. Kedua-dua individu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 15/63 (Akta 155) dan akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

Menurut Khairul Dzaimee, operasi penguatkuasaan ini adalah siri operasi “Op ID Hack” dengan matlamat menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan ini yang masih beroperasi, selain memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu yang diperoleh daripada sindiket terbabit. Sebelum ini, pihak berkuasa menahan beberapa individu, termasuk bekas kakitangan Imigresen kerana terlibat dalam pengeluaran PLKS palsu sehingga menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing mencecah ratusan juta ringgit.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version