Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin positif Covid-19 selepas membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). Muhyiddin dalam laman Facebook rasminya berkata, beliau hanya mengalami gejala ringan dan kini dalam keadaan baik.
Mengikut protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya akan menjalani kuarantin kendiri di rumah. Kepada sesiapa yang berkemungkinan menjadi kontak rapat saya, saya nasihatkan supaya mematuhi protokol yang ditetapkan oleh KKM, katanya.
Beliau turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan dirinya dan keluarga. Sementara itu, warganet turut dilihat mendoakan Muhyiddin segera diberi kesembuhan dan kesihatan yang baik. Semoga Abah cepat sembuh dan kuat melawan wabak ini, catat pengguna Facebook yang menggunakan nama Nurul Asyiqin. Semalam kes baharu Covid-19 terus melonjak apabila 13,944 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 2,939,198 setakat ini.