Home Bahasa Malaysia Banjir kilat di ibu kota, MPV polis tenggelam

Banjir kilat di ibu kota, MPV polis tenggelam

Kuala Lumpur: Beberapa kawasan di sekitar ibu kota ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda sejak kira-kira 3 petang tadi. Menurut ITIS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara laluan yang dilanda banjir kilat adalah Terowong Tabung Haji, Terowong Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang.

Selain itu, pihak Lebuhraya Pantai Baru dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan banjir kilat turut mengakibatkan laluan ke Terowong Kuchai ditutup. Banjir kilat yang melanda Jalan Kuchai Lama juga mengakibatkan sebuah kereta peronda polis (MPV) ditenggelami air.

Jurucakap pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya sedang menjalankan operasi berhubung banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sekitar ibu kota ini. Sementara itu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) memaklumkan penutupan terowong Smart berikutan banjir kilat yang melanda ibu kota.

LLM dalam satu hantaran dimuat naik di Twitter memaklumkan antara laluan yang akan terjejas akibat penutupan terowong itu ialah laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar. Selain itu, susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras turut ditutup.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version