Home Bahasa Malaysia Cuaca tidak menentu disebabkan fasa peralihan monsun

Cuaca tidak menentu disebabkan fasa peralihan monsun

Situasi cuaca tidak menentu ketika ini bukan disebabkan perubahan cuaca, sebaliknya fasa peralihan monsun yang mana keadaan rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah kondusif untuk kejadian ribut petir.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, sejak revolusi perindustrian sekitar awal abad ke-19, kesan pertamanya adalah peningkatan suhu dunia 1.1 darjah Celsius.

Katanya, peningkatan suhu itu menyebabkan kelembapan di atmosfera bertambah, seterusnya cuaca menjadi lebih ekstrem seperti ribut petir, hujan batu dan puting beliung yang lebih kerap. Di sesetengah kawasan pula, beliau berkata cuaca menjadi terlampau kering.

Perubahan iklim akan terus berlaku dan kita perlu bersedia menghadapi situasi cuaca lebih ekstrem. Namun apa yang berlaku kini bukan perubahan cuaca, tetapi fasa peralihan monsun. Kejadian ini berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak yang membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat katanya.

Mengenai peningkatan suhu yang berlaku, beliau berkata keadaan cuaca di Malaysia menjadi lebih kering sejak beberapa hari lalu disebabkan perubahan corak tiupan angin lazim di rantau ini. Keadaan mengakibatkan litupan awan berkurangan terutama di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, peningkatan suhu berlaku disebabkan tempoh penerimaan cahaya matahari yang meningkat katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata, suhu maksimum harian tertinggi direkodkan untuk tempoh sehingga semalam iaitu 36 darjah Celsius di Temerloh, Pahang masih di bawah rekod tertinggi Malaysia iaitu 40.1 darjah Celsius yang dicatatkan di Chuping Perlis pada 9 April 1998 semasa episod El Nino kuat.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version